06/08/2018

Hadiahkan Doa Buat Ibu Bapa Anda Setiap Hari


OLEH ASYIQIN ROSMAHADIR 
Ibu dan bapa dua insan yang semestinya amat berharga dalam hidup kita semua. Tanpa mereka berdua, siapalah kita pada hari ini. Ibu, yang telah mengandungkan kita serta memberikan kasih sayang secukupnya.
Ayah pula seorang jejaka yang berhempas pulas mencari rezeki demi membesarkan kita. Oleh sebab itu, pulanglah untuk menemui mereka selagi mereka masih hidup. Pada waktu yang sama, jangan lupa untuk menitipkan doa buat ibu bapa kita.
Doa amat penting dalam kehidupan. Ianya adalah ibadah. Ingatlah bahawa ibadah yang kita laksanakan bukan semata-mata untuk keperluan dunia. Sekiranya kita ikhlas untuk beribadah, nescaya kita akan diberikan ganjaran yang sebaiknya di kemudian hari.
Jadi sudahkah kita mendoakan kedua ibu bapa kita pada hari ini? Sesungguhnya, ganjaran pahala buat anak-anak yang mendoakan ibu bapa adalah sangat besar. Tidak kira sama ada mendoakan kebahagiaan, kesihatan mahupun apa-apa kebaikan.

#1- Mendoakan Pada Bila-Bila Masa
Pengorbanan dan jasa kedua-dua ibu bapa kita terlalu tinggi nilainya. Sejak kita berada dalam rahim ibu sehinggalah pada hari ini.
Jika dibandingkan dengan balasan kita kepada pengorbanan mereka berdua, masih belum tentu sama cukup dengan pengorbanan mereka.
Waktu untuk berdoa yang mustajab adalah pada waktu selepas solat, antara azan dan iqamah, ketika hujan dan lain-lain. Cadangan paling terbaik ialah jadikan amalan setiap hari.
Kita boleh mengirimkan doa buat ibu bapa selepas menunaikan solat fardhu. Oleh itu, kita akan terus-menerus mengingati mereka setelah kita selesai solat.
Selain itu, doa buat ibu bapa boleh dijadikan sebagai sarapan sebelum kita memulakan apa-apa urusan kita pada setiap hari. Mulakan hari-hari kita dengan bacaan doa ataupun membaca al-Fatihah untuk mereka.

#2- Keredaan Ibu Bapa Ialah Keredaan Allah S.W.T
Keredaan Allah bergantung kepada keredaan kedua ibu bapa. Selain berdoa, kita perlu meneruskan perjuangan untuk berbakti kepada mereka. Maka, jangan pernah kedekut apabila melibatkan ibu bapa.
Hubungan seorang anak dengan ibu bapanya mempunyai kaitan dengan hubungannya terhadap Allah S.W.T. Apabila seorang anak berbuat baik kepada kedua ibu bapanya sehingga mereka reda kepadanya, jadi Allah juga akan reda.
Saat kita masih hidup, teruskanlah berbakti serta mendoakan kedua ibu bapa. Ibu bapa kita tidak pernah kedekut. Adakah kita sedar tentang mereka yang banyak memberikan segala-galanya dari kecil?
Terlampau banyak pengorbanan mereka demi kita. Sememangnya itu menjadi tanggungjawab ibu bapa. Namun ingatlah juga tanggungjawab kita yang sepatutnya buat mereka berdua.

#3- Dilapangkan Rezeki
Kuasa doa itu benar dan apabila dimakbulkan pasti kita akan berterusan untuk berdoa. Hal ini sama juga saat kita mendoakan ibu bapa.
Ingatlah bahawa sesulit manapun kehidupan atau apa-apa yang kita lalui, Allah S.W.T berkuasa untuk mengubah segalanya. Pesanan Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah;
“Setiap hari sedekahkan al-Fatihah kepada kedua ibu bapamu (baik yang hidup mahupun yang sudah tiada) nescaya pintu rezekimu akan terbuka buat kamu.”
Rezeki yang dimaksudkan bukan tentang wang semata-mata. Rezeki itu luas dan berada dalam berbagai-bagai bentuk. Segala nikmat yang datang daripada Allah S.W.T seperti kesihatan, kasih sayang, makanan, jodoh dan bermacam-macam lagi.
Tambah pula, semua yang hidup akan memperoleh rezeki daripadaNya. Namun yang paling penting ialah keberkatan rezeki tersebut. Dengan berdoa serta berbuat baik kepada ibu bapa, rezeki akan lebih mudah untuk diperoleh serta dipermudahkan urusan.
Satu kisah yang dikenali sebagai “Ashab al-Ghar” (penghuni gua) iaitu kisah tiga orang pemuda yang terkurung dalam sebuah gua lalu memohon bantuan daripada Allah dengan memperlihatkan amalan-amalan soleh yang pernah dilakukan.
Salah seorang daripada mereka teringat tentang amalan soleh di mana dia berbuat baik kepada orang tuanya. Disebabkan amalannya itu mendapat keredaanNya, mereka akhirnya selamat keluar dari gua itu.

#4- Cara Berdoa
Belum sempurna bakti kita terhadap ibu dan ayah apabila tidak mendoakan kebaikan dan ampunan untuk mereka. Tidak lupa juga mendoakan mereka supaya diberikan ganjaran syurga.
Allah S.W.T juga memerintahkan setiap anak agar mendoakan kedua ibu bapanya. Contoh doa yang disebut dalam al-Quran ialah;
“Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua (ibu dan ayah), sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecil.Surah Al Isra 17:24
Ya Tuhanku! Ampunilah aku, ibu bapaku.Surah Nuh 71:28
Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapaku.Surah Ibrahim 14:41
Sewaktu mereka sudah tiada di dunia pula, kita sebagai anak-anak yang boleh membantu mereka di alam sana. Daripada Abu Hurairah R.A berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda;
“Apabila seseorang meninggal dunia, maka putuslah segala amalannya kecuali tiga iaitu: Sedekah yang ditinggalkan semasa hidup, ilmu yang di menfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.”Riwayat Muslim
Oleh itu, kita sebagai anak perlulah sentiasa mendoakan kebaikan kepada ibu bapa kita. Mereka berdua yang telah berusaha membesar, mendidik dan banyak berjasa dalam hidup kita. Mereka memang teringin sekali untuk melihat kejayaan dalam hidup kita.
Maka, kita seharusnya membalas kembali jasa-jasa mereka walaupun hanya dengan doa-doa yang sering disampaikan. Itulah hadiah yang pasti diharapkan oleh kedua-dua orang tua kita.
Sama ada kita mendoakan kebaikan buat mereka ketika mereka masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Doa kita tersebut sangat mustajab dan bakal diterima disisi Allah S.W.T. InsyaAllah

09/07/2018

3 Sebab Utama Anda Perlu Menyebarkan Senyuman

OLEH SITI ASMAQ MUHAMMAD

Senyum ialah satu riak wajah gembira yang selalu kita tunjukkan kepada ibu bapa, keluarga, kawan, guru dan orang ramai.

Senyum yang ikhlas ini mampu membahagiakan insan yang menerima senyuman kita itu.

Senyum itu mudah kerana ianya hanya melibatkan sepasang bibir yang dianugerahkan oleh Allah ini namun kenapa kadang kala ianya sukar untuk dihadiahkan kepada orang lain?

Ianya sukar kerana kita belum mengerti tentang keperluan senyum ini. Yang kita tahu bila kita gembira kita akan tersenyum lebar. Manakala bila kita marah dan sedih kita tak mampu lagi untuk tersenyum. Betul tak?

Jom, saya kongsikan beberapa sebab untuk membolehkan kita sentiasa tersenyum walau macam mana pun keadaan hati kita.

#1- Mencontohi Peribadi Rasulullah S.A.W
Abdullah Bin Al Harith menyebut;

“ Belum pernah aku melihat seseorang yang banyak tersenyum selain Rasulullah S.A.W’’
Riwayat Tirmizi

Nabi Muhammad sentiasa tersenyum dan dengan senyuman baginda ini ianya mampu menghilangkan kekerasan dalam diri orang lain, dengan senyuman baginda ini juga ianya mampu menyentuh hati orang lain untuk mencintai dirinya.

Kalau Rasulullah boleh tersenyum kepada semua orang, kenapa kita susah untuk menghadiahkan senyuman yang diberikan oleh Allah ini sedangkan senyum itu merupakan satu sedekah.

#2- Merapatkan Silaturahim
Dalam kehidupan kita sebagai manusia biasa, kita memerlukan insan lain sebagai peneman untuk meneruskan kehidupan di bumi Allah ini.

Jadi untuk menjalinkan hubungan dengan setiap insan kita mesti mulakan hubungan ini dengan senyuman

Melalui senyuman ini ianya akan menjalinkan hubungan silaturahim. Andainya silaturahim yang dibina ini bermula daripada senyuman kita maka berbahagialah kita dengan ungkapan Rasulullah ini;

“Sesiapa yang suka untuk diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah ia menyambung tali silaturahim’’
Riwayat Bukhari

#3-Memberi Aura Positif
Walaupun senyum ini sekejap namun ianya mempunyai kesan jangka panjang kepada emosi kita sebagai pemberi senyum dan kepada penerima senyum.

Dengan senyuman ini kita mampu memperlihatkan aura positif dan secara tidak langsung orang lain juga turut tersenyum.

Sebagai contoh, kita sendiri pun selalu tersenyum keseorangan saat melihat gambar kawan kawan yang tersenyum riang di media sosial kan?

Rupa-rupanya senang untuk menyalurkan aura positif ini iaitu dengan hanya tersenyum dan InsyaAllah perasaan gembira ini akan dikongsi bersama.

Jadi, marilah kita sama-sama menggunakan sepasang bibir ini dengan betul dan memanfaatkan masa yang diberikan oleh Allah untuk menyebarkan kebaikan dan menyambungkan silaturahim yang semakin hari kian menjauh.

Tapi ingat dalam kita menghadiahkan senyuman ini, usahlah kita memilih insan mana yang harus kita hadiahkan senyuman. Sebarkan senyuman kepada semua.

Semoga bermanfaat untuk kita semua dalam menyebarkan agama Allah ini. Ayuh lakukan perubahan dan sebarkan senyuman dalam kebaikan.

04/07/2018

Secebis Kisah Teladan Anak Yang Soleh

Secebis Kisah Teladan Anak Yang Soleh
OLEH RIZAL ALHAJ 

Nabi Musa A.S adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah SWT. Setiap kali hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Nukit Tursina.

Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah SWT. Nabi Musa A.S sering bertanya dan Allah SWT akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi.nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa A.S telah bertanya kepada Allah SWT;

“Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku ?”

Allah SWT pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa A.S turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu.

Setelah beberapa hari perjalanan, akhirnya sampai juga Nabi Musa A.S ke tempat berkenaan. Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut.

Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa A.S

Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar.

Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa A.S terkejut melihatnya. Nabi Musa A.S berbisik di dalam hatinya penuh kehairanan;

“Apa hal ini ?”

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sehingga kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik.

Tidak lama kemudian, dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan.

Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta dicium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik. Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa A.S. Nabi Musa A.S bertanya;

“Wahai saudara, apa agama kamu ?”

Pemuda itu menjawab

“Aku agama Tauhid”

Nabi Musa berkata tegas;

“Habis, mengapa kamu membela babi? kita tidak boleh berbuat begitu”

Pemuda itu berkata;

“Wahai tuan hamba, sebenarnya kedua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah SWT telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh rupanya. Soal dosa mereka dengan Allah SWT itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah SWT. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Setiap hari aku akan berbakti kepada kedua ibu bapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menjadi babi, aku tetap melaksanakan tugasku”

Beliau berkata lagi;

“Setiap hari aku berdoa kepada Allah SWT agar mereka diampunkan. Aku bermohon suapaya Allah SWI menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah SWT masih belum memakbulkan lagi”

Maka ketika itu juga Allah SWT menurunkan wahyu kepada Nabi Musa A.S;

“Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti. Hasil baktinya yang sangat tinggi kepada kedua ibu bapanya. Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami”

Allah SWT juga berfirman lagi yang bermaksud;

“Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibu bapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam Syurga”

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga.

Begitu hebat pemuda itu, walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekalipun perangai kedua ibu bapa kita, itu bukan urusan kita. Urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kita kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekalipun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita. Urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah SWT supaya kedua ibu bapa kita diampuni Allah SWT.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat. Inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibu bapa yang berada di alam kubur.

Bersama kita kongsikan kisah ini agar memberi manfat dan peringatan kita bersama.

03/07/2018

Beristiqamahlah Walaupun Ramadan Telah Berlalu Pergi

Beristiqamahlah Walaupun Ramadan Telah Berlalu Pergi
OLEH USTAZ ROZAIMI RAMLE 

Syawal menjelma dan segala apa yang kita lakukan tika dibulan Ramadan boleh kita teruskan. Jangan terhenti di akhir Ramadan. Kita boleh mula berpuasa sunat dibulan Syawal sebagai menyambung puasa kita dan dibulan-bulan yang lain juga. Sebagai contohnya puasa 6 dibulan Syawal.

Dari Abu Ayyub Al-Anshory bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa berpuasa Ramadan, kemudian melanjutkan dengan berpuasa 6 hari pada bulan Syawal, maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
(HR. Muslim)

Begitu juga, genap sebulan kita solat berjemaah Maghrib dan Isyak di masjid, maka apa salahnya kita teruskan jua dibulan-bulan yang lain. Bukan sekadar dibulan Ramadan kita berusaha ke masjid dan berjemaah namun tidak dibulan-bulan yang lain. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Solat berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian 27 kali ganda”
(HR Bukhari dan HR Muslim)

Tangan kita begitu cepat memberi ketika dibulan Ramadan dan apa kata kita teruskan memberi walaupun sedikit dibulan-bulan yang lain. Kerana tangan yang diatas lebih baik daripada tangan dibawah. Dari Hakim bin Hizam Radhiyallahu anhu, daripada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda :

“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Dan mulailah dari orang yang menjadi tanggunganmu. Dan sebaik-sebaik sedekah adalah yang dikeluarkan dari orang yang tidak membutuhkannya. Barangsiapa menjaga kehormatan dirinya maka Allah akan menjaganya dan barangsiapa yang merasa cukup maka Allah akan memberikan kecukupan kepadanya.”
(HR Bukhari dan HR Muslim)

Teruskan amalan-amalan baik yang kita lakukan dibulan Ramadan. Jangan kita terasa penat dan terhenti di tengah jalan. Didiklah diri kita untuk terus beristiqamah.
Allah Ta’ala berfirman:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Maka tetaplah kamu (pada jalan yang benar), sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat bersama kamu. Dan janganlah kalian melampaui batas. Sesungguhnya DIA Maha melihat apa yang kalian kerjakan”
(Hûd 11:112)

Ingatlah peringatan Allah kepada kita.

فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهْدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلْإِسْلَامِ ۖ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ

“Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya DIA akan melapangkan dadanya untuk Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah kesesatannya, niscaya Allah akan menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit”
(Al-An’âm 6:125)

Wallahua’lam.

21/05/2018

10 Perkara Mudah Gandakan Pahala Anda Di Bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan merupakan bulan kita mengejar pahala. Dalam kesibukan bekerja dan menguruskan rumahtangga, mungkin ada yang terfikir cara mendapatkan pahala berlipat kali ganda semasa di bulan Ramadhan.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mengejar pahala berlipat kali ganda:

#1 – Menjaga Tali Silaturrahim
Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):

“Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkanlah hubungan silaturrahim (dengan ihsan).”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

#2 – Solat Berjemaah
Daripada Uthman bin Affan r.a., Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):

“Siapa yang menunaikan solat Isyak berjemaah, ia mendapat ganjaran seolah-olah ia melakukan qiamullail separuh malam. Siapa yang solat Subuh berjemaah, ia mendapat ganjaran seolah-olah ia melakukan qiamullail sepanjang malam.”
Riwayat Muslim

#3 – Menghidupkan Masjid
Daripada Uthman bin Affan r.a., Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):

“Sesiapa yang mendirikan masjid kerana Allah, nescaya Allah binakan untuknya rumah di syurga.”
Riwayat Muslim

Daripada Abu Darda’ r.a., Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah ‘Azzawajalla memberi jaminan kepada orang yang menjadikan masjid seperti rumahnya akan keamanan san melepasi titian Sirat pada hari kiamat.”
Riwayat al-Bazzar

#4 – Solat Sunat
Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):

“Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan pahala maka diampunkan baginya dosanya yang lalu.”
Riwayat Bukhari

“Mendirikan Ramadhan” di sini bermaksud menghidupkan malam dengan solat sunat tarawih dan amalan-amalan lain.

Selain itu, solat-solat sunat yang dijanjikan pahala juga termasuklah solat witir, solat sunat rawatib dan solat-solat sunat yang lain.

#5 – Bercakap Dan Buat Perkara Yang Baik
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):

“Kalimah yang baik adalah sedekah, setiap langkah untuk mengerjakan solat adalah sedekah, dan membuang benda yang tidak disukai di jalan Allah adalah sedekah.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Daripada Abdullah bin Salam r.a., Nabi s.a.w bersabda:

“Wahai manusia! Ucapkanlah salam, berilah makanan dan tunaikanlah solat pada waktu malam ketika manusia sedang tidur; nescaya kamu memasuki syurga dengan selamat.”
Riwayat al-Tirmizi

#6 – Mencari Ilmu Dan Menyampaikan Ilmu
Daripada Sa’ad Ibn Abu Waqqas r.a., Nabi s.a.w bersabda:

“Kelebihan ilmu lebih aku sukai daripada kelebihan ibadat. Kebaikan dalam agama kamu ialah warak.”
Riwayat al-Hakim

Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah s.a.w bersabda (maksudnya):

“Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia.”
Riwayat al-Tirmizi

Pada masa kini ada banyak ruang untuk menuntut ilmu terutama dalam meningkatkan kefahaman kita dalam hal agama. Malah, kita juga mempunyai banyak ruang untuk menyampaikan ilmu terutama di media sosial.

Namun begitu, berhati-hatilah dalam menyampaikan ilmu agar kita tidak menjadi ikutan yang buruk dan mendatangkan dosa serta perpecahan pula.

#7 – Menjamu Orang Berbuka Puasa
Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):

“Sesiapa yang menjamu orang untuk berbuka, baginya pahala seperti pahalanya.”
Riwayat al-Tirmizi

#8 – Berzikir
Sabda Nabi s.a.w (maksudnya):

“Sesungguhnya bagi Allah para malaikat yang berjalan di jalan-jalan mencari ahli zikir. Apabila mereka dapati satu kaum mengingati Allah, malaikat menyeri, “Marilah kepada hajat kamu semua”. Lalu mereka kelilingkan kaum tersebut dengan sayap-sayap mereka ke langit dunia.”
Riwayat Bukhari

Berzikir dan beristighfar juga boleh dilakukan semasa membuat kerja dan selepas menunaikan solat.

#9 – Membaca Al-Quran
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):

“Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat memberi syafaat kepada golongannya.”
Riwayat Muslim

Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):

“Dan tidaklah berhimpun satu kaum di dalam rumah daripada rumah-rumah Allah membaca Al-Quran dan bertadarus antara mereka melainkan turunlah ketenangan atas mereka, diliputi rahmat, dikelilingi para malaikar dan Allah menyebut mereka di sisiNya.”
Riwayat Muslim

#10 – Mencari Lailatul Qadar
Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):

“Dan sesiapa yang bangun mendirikan Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa yang telah lalu.”
Riwayat Bukhari

Ramadhan adalah bulan latihan membentuk diri menjadi muslim yang baik. Semoga kebaikan-kebaikan ini berterusan walaupun selepas berakhirnya Ramadhan.


OLEH ANAS 

24/08/2017

Keistimewaan Bulan Zulhijjah

Keistimewaan Bulan Zulhijjah:
Penamat Dalam Bulan Islam

Pejam celik, rupanya kita sudah pun menghampiri penghujung bulan Islam iaitu Zulhijjah. Agaknya, apakah bekalan yang telah kita lakukan pada 11 bulan yang lalu? Adakah semakin bertambah atau semakin berkurangan.

Jika bertambah, syukur dipanjatkan dan mudah-mudahan ia akan terus istiqomah. Adapun, jika semakin berkurangan ia perlu dimuhasabah kembali. Ini kerana tujuan kehidupan ini tidak lain hanyalah untuk mengabdikan diri kepadaNya.

Sebelum memasuki tahun baru dalam Islam, adalah sebaiknya kita menampal lompong-lompong amal ibadah yang semakin terhakis dek kerana kesibukan dunia. Mari sama-sama kita tingkatkan kualiti ibadah pada bulan Zulhijjah ini. Siapa tahu, amal yang satu dan sedikit ini mampu membantu kita di hari ‘sana’ nanti. Berikut dikongsikan apa yang istimewa dan ada dalam bulan Zulhijjah ini.

#1 – Puasa Sunat

Umat Islam digalakkan untuk berpuasa sunat pada 1 hingga 9 Zulhijjah. Rasulullah SAW bersabda;

“Berpuasa pada hari Arafah, dapat menebus dosa-dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.”
(Hadis Riwayat Muslim)
#2 – Hari Arafah (9 Zulhijjah)

Ia merujuk kepada kemuncaknya ibadah haji iaitu wukuf di Padang Arafah. Ia dilakukan kerana diyakini menjadi tempat pertemuan semula antara Nabi Adam a.s dan isterinya, Hawa setelah diturunkan dari syurga. Setelah memohon keampunan serta taubat, Allah SWT menerima taubat dan dosa mereka diampunkan di Padang Arafah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah, sebaik-baik ucapan yang diucapkan olehku dan nabi-nabi sebelumku adalah, ‘Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa dan tiada sebarang syirik (sekutu) bagi-Nya, bagi-Nya segala penguasaan dan pujian, Dialah yang berkuasa bagi setiap sesuatu’.”
 (Hadis Riwayat Tirmizi)
#3 – Menunaikan Ibadah Haji

Ibadah haji merupakan pelengkap dalam rukun Islam setelah ucapan syahadah, solat fardhu 5 waktu, berpuasa dalam bulan Ramadan dan menunaikan zakat. Ia dilakukan bagi mereka yang berkemampuan.Selain bertujuan untuk mencapai keredaan Allah, ibadah ini juga menuntut keihkhlasan, pengorbanan serta kesatuan dalam melaksanakannya.

#4 – Perayaan Hari Raya Aidiladha

Hari Raya Aidiladha ini merupakan perayaan kedua terbesar bagi umat Islam setelah Hari Raya Aidilfitiri. Ia disambut pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah bagi memperingati akan peristiwa sejarah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim yang hendak menyembelih anaknya sendiri atas sebab perintah Allah SWT yang diperolehinya melalui mimpi. Akan tetapi, ia ditukar ganti dengan binatang kibas pada akhirnya.

#5 – Melaksanakan Ibadah Korban

Ibadah korban pada bulan Zulhijjah perlu dilakukan setelah selesai solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah sehingga terbenam matahari 13 Zulhijjah. Ia adalah sunnah muakkad iaitu sunnah yang digalakkan. Adapun, jika sembelihan dilakukan setelah waktu ini ia tidak dianggap sembelihan korban, melainkan hanya sedekah semata-mata.

Adapun, bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji dalam bulan Zulhijjah, kita digalakkan untuk menghidupkan malam 10 Zulhijjah itu dengan bacaan Al-Quran, qiamullail, berzikir (takbir, tahmid dan tahlil) dan amal-amal yang lain.

Semoga keistimewaan yang ada dalam bulan Zulhijjah ini dapat kita raih bersama-sama sebelum memasuki tahun baru Islam. Ini kerana belum tentu kita masih sempat untuk melaluinya lagi pada tahun yang akan datang. Moga bermanfaat. Wallahua’lam.

18/07/2017

3 Wasiat Buat Pencinta Rasulullah SAW



(قل بفضل الله و برحمته فبذلك فليفرحوا هو خير مما يجمعون)
“Katakanlah (Wahai Muhammad); dengan kurniaan dan RAHMATNYA, hendaklah mereka bergembira, Maka itu lebih baik dari apa sahaja yang mereka kumpulkan”
Berkata sebahagian Ahli Tafsir; “Rahmat” yang dimaksudkan dalam ayat di atas ialah Rasulullah SAW . Bermakna:
“Hendaklah mereka bergembira dengan kehadiran Rasulullah SAW di dalam kehidupan ini.
Maka sekurang-kurangnya lakukanlah tiga perkara berikut sebagai tanda gembira akan kehadiran Rasulullah SAW walaupun jauh sekali jika dibandingkan dengan para sahabat meluahkan rasa cinta mereka.

#1 – Perbanyakkan Selawat

Berkata Syeikh As Sakhawi dalam Kitab Qoulil Badi’ ;
Paling kurang selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dalam seharian ialah 300 kali.  Rasulullah SAW bersabda: 
مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه
عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَات
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah Taala akan berselawat (menurunkan rahmat) baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat (di syurga kelak)”
Sabda Nabi SAW: 
الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ
“Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut tentang-ku mereka tidak berselawat ke atasku”
(Sahih Tirmizi)
#2 – Sunnah Rasulullah SAW

Kalau bukan kita yang hidupkan sunnah Rasulullah SAW maka siapa lagi ? Hidupkanlah Sunnah Nabi Muhammad SAW dengan penuh rasa keagungan, rasa rindu dan kasih. Makan minum, keluar masuk bilik air, Solat lima waktu dan sebagainya. Bukalah Kitab Syamail Muhammadiah untuk mengenali sunnah-sunnah tersebut.

#3 – Khidmat Untuk Ummat Nabi Muhammad SAW

Ummat Rasulullah SAW adalah umum; Muslim dan juga Kafir. Harus bermuamalah dengan mereka dengan cara Rasulullah SAW bermuamalah lebih-lebih lagi Muslim. Berkhidmatlah dengan mereka dengan perasaan bahawa engkau menjadi wakil Nabi Muhammad SAW dalam khidmatmu itu supaya tidak akan engkau pancarkan akhlakmu melainkan akhlak Nabi Muhammad SAW.

Tidak akan terpancar melainkan kasih sayang Nabi Muhammad SAW. Di sana nanti akan terpancar rahsia kenabian dalam berdakwah. Semoga sedikit sebanyak usaha kita untuk mendekatkan diri kepada Rasulullah SAW di dunia ini dengan niat agar supaya Allah Taala mendekatkan kita dengan Baginda ‎SAW di sana nanti InsyaAllah. Amin.


x